
Bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, pelbagai reruai jualan dan pameran akan dibuka kepada orang awam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menampilkan produk tempatan, perkhidmatan kerajaan serta aktiviti interaktif yang menarik.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, sebanyak 36 reruai dan 25 pempamer akan terlibat dalam acara ini. Jualan dan pameran tersebut akan dibuka kepada umum dari 23 hingga 25 Mei, manakala khusus untuk delegasi ASEAN pada 26 dan 27 Mei.
Bertemakan “The Heritech Malaysia”, iaitu gabungan konsep heritage (warisan) dan technology (teknologi), pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi secara langsung penghasilan pelbagai kraf tangan tradisional, di samping merasai pengalaman digital interaktif melalui paparan skrin pintar dan video.
Antara yang bakal mencuri tumpuan termasuk demonstrasi menekat benang emas, anyaman, mencanting batik, serta pameran berkaitan penggunaan dompet digital, permainan digital, persembahan interaktif, dan cabutan bertuah. Turut disediakan ialah uji rasa makanan dan minuman tempatan, edaran cenderahati, serta simulasi penggunaan dron.
Lebih istimewa, pengunjung juga akan disajikan dengan persembahan kebudayaan daripada komuniti Orang Asli yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), selain persembahan oleh artis berkeupayaan khas dan pelancaran produk tempatan terkini.
Pameran perkhidmatan kerajaan pula membabitkan penyertaan beberapa kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Program MySTI bagi R&D tempatan, serta Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Inisiatif ini bukan sahaja memeriahkan sambutan Sidang Kemuncak ASEAN, tetapi turut membuka ruang untuk memperkenalkan kekayaan budaya tempatan dan kemajuan teknologi negara kepada masyarakat serantau.
– Malaysia MADANI
![]()